BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, June 3, 2017

TAARE ZAMEEN PAR

Assalamualaikum dan salam Ramadhan Al Kareem.

"Every Child is Special"

Mimbar BBK SAMTTAJ kembali selepas laman web nya diserang sarang lelabah.
Alhamdulillah, hari ini kita dapat bertemu di dalam satu bulan yang penuh dengan rahmat. Hari ini editor ingin mengupas satu isu berkenaan tentang sindrom yang sering dijumpai dalam sekeliling kita, iaitu dyslexia.

Aikk?? Awat editor tetiba ja buat comeback kemudian buka isu tentang sindrom ini.

Editor kagum dengan kebijaksanaan pengarah filem dari negara rempah ratus, India. Mesti semua kenal Aamir Khan, simbolik dengan filem 3 Idiots, Mann dan yang terbaru Dangal ataupun gusti. Selain dari berlakon, beliau hebat dengan mengarah filem yang sememangnya kita tahu, Aamir terkenal dengan filem yang berunsurkan kekeluargaan.

Sedang sibuk editor kemaskini harddisk, editor ternampak satu folder yang jarang editor buka. Tertulis " Taare Zameen Par (2007)" . Biasalah kan, harddisk 1 tera, tak semua movie kita nak tengok. Paling tidak editor akan ulang cerita Running Man je... hehe.

Apa yang ada dalam filem ini ya? Yup.... dah ku sangka. Aamir Khan berjaya memotong bawang ditepi editor.

Kisah seorang kanak - kanak 9 tahun yang merasa terasing dengan keluarga dan pada yang sama mengalami sindrom dyslexia. Ishaan ataupun lebih manja dengan panggilan Inu atau Champ (yang biasa dipanggil oleh Yohan, abang kepada Ishaan) tidak mampu mengenali huruf, membaca, menulis mahupun mengira. Tetapi, dia dilahirkan dengan tangan artistik, iaitu minat dalam seni lukis berus.

Editor menggalakkan kepada semua kanak - kanak, mahupun dewasa yang ada kesempatan membaca nukilan ringkas editor ini, untuk lebih menonton filem - filem sebegini. Stop saattt movie lagha, kita amik movie yang berilmiah dan memberi kesan.

Apa yang editor ingin simpulkan, jangan anggap kanak - kanak yang mengalami sindrom ini sebagai kanak - kanak yang tiada masa depan. Tidak tahu membaca? Tidak mengapa, editor yakin anda pasti ada bakat tersendiri. Cuma tidak digilap je lagi. Keep strong adik - adik. Assalamualaikum.

"Taare Zameen Par"
Like Star on Earth

Sunday, June 12, 2016

KAGUM

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Fuhh... bersarang blog nie. Tatkala kesemua editor dihimpit dengan kekurangan masa. Hehe...

Semoga pembaca terus mendoakan kepada kami kekuatan untuk meneruskan penulisan tarbiah dan dakwah ini.

Disebut dalam Al Quran, Surah al Hujurat ayat 13,

"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya telah Aku ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan telah aku jadikan kamu bersuku dan berkabilah untuk saling kenal - mengenali"

Setiap aplikasi media sosial ini selain menjadi medium menyebarkan ilmu, ia dijadikan sebagai medan untuk berinteraksi bersama manusia yang lain samada kita kenal ataupun tidak.

Di Wechat, kita ada "People Nearby" dan "Shake"??

Di Facebook, kita ada kemudahan "Group", "People May You Know" atau selain itu.

Dan sudah menjadi habit editor untuk mengenali anonymous.

Tapi hari ini, editor kagum dengan seorang remaja. Belasan umur. Yang datangnya dari negeri pantai timur.

Perkenalan yang sempoi. Istilah nak cari kawan baru lah bunyinya. Hehehe...

Betul tak?? Masing - masing ada sejarah tersendiri. Bagi mereka yang lain, posting perkara yang berfaedah itu sudah biasa ditemui. Tapi tidak bagi editor. Kerana dunia kini semakin kurang pencetus dalam kalangan remaja akhawat yang sangat berjiwa besar.


SUATU KISAH....

Ingin dikenali sebagai Jihah, besekolah di sebuah Maahad. Ahli badan dakwah sekolah berkenaan.

Ilmu yang dikongsinya mungkin terlalu biasa kerana biasa didengar dari penceramah bebas lain. Tetapi kisah riwayatnya membuatkan hati editor terharu dengan kesabaran dan ketabahan hatinya.

Jihah kehilangan dua insan yang paling dia sayang, digelarkan "kaklong" dan ayahnya yang tercinta.

Pada awalnya, kakaknya pergi dijemput Ilahi dan bagi Jihah hidupnya terlalu kosong. Namun, ujian untuk remaja ini berterusan apabila giliran ayahnya diambil oleh Allah selepas 2 tahun selepas kehilangan kakaknya sewaktu usia 11 tahun.

Aku makin kagum apabila ujian itu buat dia lebih tabah dan ingin teruskan usaha dakwah. Disusuli pula masalah kesihatan bondanya yang tidak menentu.

Kata - kata ayahnya terus terngiang - ngiang di telinganya,

" Biler abah pergi, bukan bermakna abah dah takde, Abah masih ada dalam memori angah."

"Jangan menangis sebab abah tak suka tengok puteri abah menangis"
Perjuangan dakwah ingin diteruskan sebaik dia mendaftar masuk ke sebuah sekolah maahad. Semoga Jihah terus kuat.

KONKLUSI

Allah s.w.t jadikan setiap manusia itu untuk mengabdikan dirinya kepada Allah dan dijadikan seorang khalifah diatas muka bumi. Terlalu biasa, bagi mereka yang belum pernah merasa kehilangan seseorang yang amat dicintai.

Tetapi, masih ingatkah kita pada sejarah Rasulullah s.a.w. yang kehilangan dua orang yang paling dicintai, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib dimana dua individu yang terus menyokong Baginda. Kemudian, bermulalah. Kehilangan Khadijah yang membawa erti kepayahan dan kehilangan Abu Talib yang membawa erti putus asa.. Kemudian, Allah hadiahkan mukjizat yang agung iaitu Israk Mikraj untuk mengubati Rasulullah s.a.w. yang menempuhi tahun kesedihan.


Kita masih belum diuji dengan ujian kasih sayang yang hakiki. Alaaa... hilang pakwe tu lain dik. Feeling kau time tu cuma cinta monyet monkey ja. Tapi bayangkan kalau kita hilang orang yang teramat cintakan kita??

Semoga Allah hadirkan diri  adik Najihah kejayaan seperti namanya. Teruskan usaha adik. Allah sahaja yang Maha Mengetahui tentang keikhlasan adik.

abuhurairah1396 

Friday, May 8, 2015

FARHANITRATE AND PRERAJULISATION

Assalamualaikum dan salam ukhwah kepada semua pembaca sekalian.

Terima kasih buat semua sahabat yang masih terus menyokong blog kami. Alhamdulillah, kami berasa amat besar hati melihat komentar - komenta diruangan "Apa Kata Anda" serta jumlah pageview yang sungguh besar. Semoga berkat doa sahabat - sahabat sekalian akan terus membakarkan semangat kami untuk meneruskan rentak penulisan blog ini.


FARHANITRATE AND PRERAJULISATION???

Sememangnya bagi mereka yang mengemari filem - filem Hindustan, anda pasti tahu atau sudah dapat meneka filem ini.

Filem yang telah dikeluarkan pada tahun 2009 ini berjaya mendapat keuntungan yang sangat besar di seluruh dunia apabila mengaut keuntungan sebanyak 25 juta USD ini berjaya memkat hati para penonton apabila filem ber'genre'kan komedi ini menceritakan kisah nilai persahabatan yang amat bermakna.

Sedikit sebanyak sinopsis filem 3 Idiots:


Lakonan: Aamir Khan, Kareena Kapoor, R. Madhavan dan Sharman Joshi

 "Farhan Qureshi menceritakan pengalaman persahabatan dengan teman sebiliknya iaitu Raju Rastogi serta Ranchoddas Shamaldas Chanchad ataupun lebih dikenali sebagai Rancho. Farhan yang lebih mengemari seni fotografi hidupan liar yang terpaksa mengikuti kata - kata ayahnya, Raju yang inginkan pekerjaan yang baik untuk menyara kehidupan keluarganya yang miskin dan Rancho yang sangat meminati kejuruteraan dan memiliki sikap yang sangat unik. Selain daripada mereka bertiga, terdapat beberapa watak lain yang menyempurnakan lagi filem ini iaitu watak Pengarah ICE, iaitu Dr. Viru Sahastrabuddhe, pelajar yang terlalu inginkan kejayaan, iaitu Chatur Ramalingam yang lebih dikenali sebagai "Silencer" dan seorang gadis idaman Rancho iaitu Pia, anak kepada Virus"

Tuesday, November 11, 2014

JIWA SANG PENULIS

Assalamualaikum dan salam muhibbah buat semua pencetus ummah sekalian.



PENDAHULUAN


Sepanjang menelusuri era teknologi ini, amalan membaca semakin berkurangan dan semakin tenggelam dengan ribuan alat dan sistem teknologi yang semakin gah membangun. Buku - buku cerita, buku ilmiah, keratan akhbar tentang pendidikan semakin ditolak tepi dari pelbagai lapis umur masyarakat. Yang masih segar hanyalah novel cinta, majalah gosip, komik anime serta akhbar yang
mengandungi isu - isu politik dan sukan.

Malah, melawat perpustakaan juga seolah - olah semakin hilang dalam aktiviti kehidupan pelajar. Satu masa dahulu, para pelajar giat berkunjung ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan ilmiah untuk rujukan, tetapi kini, kebanyakan perpustakaan di sebahagian besar sekolah - sekolah di Malaysia dijadikan 'kedai kopi' bagi para pelajar apabila medan ilmiah itu dijadikan tempat untuk melepak. Walaubagaimanapun, masih ada lagi yang memanfaatkan kemudahan perpustakaan sekolah ini dengan tujuan yang baik. Semoga amalan itu terus berkekalan dan tidak seperti 'melepaskan batuk di tangga' sahaja.

PENGENALAN


Dalam dunia yang penuh dengan ujian ini, semakin hari semakin banyak laman sosial yang telah diwujudkan. Boleh dikatakan, setiap manusia mempunyai akaun Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan sebagainya. Dunia semakin mudah. Tidak seperti dahulu kala, kini manusia mampu mendapatkan maklumat dan isu - isu semasa dalam laman sosial yang dinyatakan diatas.Segala gosip tentang artis tempatan mahupun luar sudah dapat diketahui dengan sekali klik pada page Facebook yang memuat naik status tentang gosip.

KEYBOARD WARRIOR


Jika kita perasan akan perubahan demi perubahan yang berlaku dalam dunia maya, isu “keyboard warrior” sangat hebat menular dalam kalangan pengguna alam maya kini.
Mentaliti pengguna media sosial terhadap perkara ini mudah.
Andai dapat melontarkan pandangan tanpa mengeluarkan suara, maka itu adalah lebih baik berbanding mencabar diri untuk berdiri di hadapan khalayak ramai lalu berhujah menegakkan pendirian sendiri.
Jujurnya, saya begitu sukakan keyboard warrior ini. Namun tidak semua.
Walaupun kegiatan ini mampu mengasah bakat serta minat dalam bidang penulisan, tetapi sekiranya ia bertunjangkan emosi yang tidak stabil, perasaan ego yang meluap-luap, maka penulisan serta pendapat yang diutarakan akan kelihatan jijik dan tidak matang.
Inilah kelemahan utama yang ada pada diri pejuang-pejuang papan kekunci ini. Cukup menyedihkan apabila bakat yang hebat ini tidak terarah dengan pendekatan yang betul dan pengawalan emosi yang seimbang.
 Semuanya ingin menjadi bijak! Semuanya ingin dilihat hebat! Semuanya ingin mempertahankan ego sendiri!
Lalu, siapa pula yang mahu bertolak ansur? Siapa pula yang ingin meencipta kata putus dan mengakar diskusi serta perbincangan pendapat yang baik?
Bukannya hendak menuding jari menyatakan dia yang salah dan saya yang betul. Namun saya lebih tertarik untuk memperbetulkan persepsi kita semua bahawa pahlawan papan kekunci juga tidak semuanya suka bertindak melulu.
Ada yang berhujah setelah memperoleh fakta yang benar serta membuat rujukan terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan.
Namun, apabila muncul pahlawan ego yang hanya ingin menonjolkan kepandaiannya serta tidak mahu mengalah tanpa mempunyai ilmu yang cukup terhadap perkara yang sedang hangat dibincangkan, maka hukuman terhadap keyboard warrior ini dijatuhkan kepada semuanya sekali.

KESIMPULAN


Ikatlah ilmu dengan bacaan serta tulisan. Inilah anjuran daripada Nabi Muhammad saw. Alangkah ruginya sekiranya ilmu yang diperolehi tidak ditulis dan dikongsikan kepada semua.
Tidak semua daripada kita mempunyai hafalan yang begitu baik dan mantap. Hatta sahabat-sahabat baginda juga tetap tegar menulis walaupun ilmu mereka sudah penuh di dada serta tersemat kemas di dalam ingatan.
Semaikan sikap suka menulis dan membaca.
Jika bukan untuk kebaikan anda, mungkin untuk kebaikan orang disekeliling anda lalu ia pastinya akan berbalik semula kepada anda dengan peringatan yang telah ditulis. Semakin unik kalam berbicara, semakin tertarik hati pembaca.
Moga istiqamah!

SPM: KUNCI KEJAYAAN ATAU TIKET KEGAGALAN??

Assalamualaikum dan salam muhibbah buat semua pengunjung setia blog kami. Alhamdulillah, bersyukur kehadat Ilahi kerana dapat menghirup udara yang segar diatas bumi Malaysia ini yang tercinta. Moga pada hari ini lebih baik dari semalam.

Sebelum terlambat, saya ingin mengucapkan salam maju jaya kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah berlangsung minggu lepas. Bagaimana?? Susah ataupun senang?? Semoga kalian pelajar Tingkatan Lima dapat menjawab dengan baik dan dapat mencapai apa yang anda semua inginkan pada masa akan datang. Insha Allah.


Gambar sekadar hiasan. Calon SPM 2014 SAMTTAJ.
Baiklah. SPM merupakan salah satu halangan terakhir buat pelajar di sekolah menengah. Bagi pelajar yang menduduki peperiksaan ini, ianya adalah sebuah kunci kepada mereka yang memiliki cita - cita yang tersendiri. SPM jugalah yang bakal menentukan dimanakah kedudukan kita di peringkat institusi pengajian tinggi nanti. Apakah jurusan yang sesuai untuk kita??

Setiap kredit yang diperolehi dalam keputusan itu amat bermakna kerana ia membantu kita dalam menentukan kemana arah tuju kita. Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ataupun institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)?? Kesemuanya terletak kepada calon. Pena menjadi pedang dalam medan pertempuran. Setiap jawapan yang tertulis itu menjadi jalan menuju kearah menara gading.


Semoga kesemua calon SPM tahun 2014 memperolehi pencapaian yang memuaskan dan cemerlang. Pastikan harapan ibu bapa dan guru - guru terlaksana kerana merekalah antara insan yang paling gementar pada waktu itu. Hampir lima tahun para guru memerah otak dan mengeluarkan ilmu mereka. Ada yang sanggup mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri mahupun seorang ibu ataupun bapa di rumah. Hargailah titik peluh mereka. Mereka marah bukan sebab menghina, tetapi sebab hendakkan anak muridnya berubah dan dapat apa yang mereka hajatkan.

Kerap ber'dating' dengan Allah. Mohon diampunkan segala dosa. Allah sentiasa dengar doa hamba-Nya. Bermuhasabah diri. Rujuklah Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengampun.

Dan paling penting, mohon restu ibu bapa sebelum bermulanya sebarang kertas ujian. Mudah. Disaat itulah, doa seorang ibu itu dimakbulkan oleh Allah. Insha Allah.



SALAM MAJU JAYA BUAT CALON SPM TAHUN 2014 SAMT TENGKU AMPUAN JEMAAH, SHAH ALAM. 

ATASI SIKAP PEMARAH DAN DENDAM.

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca dan pengunjung blog Kelab Bimbingan dan Kerjaya SAMTTAJ.

 Alhamdulillah. Berkat doa saudara dan saudari sekalian. blog kami sudah mencecah ribuan pengunjung dari serata dunia. Dan ia telah memanggil kami untuk memperbaharui artikel kami.

Wah!! Pejam celik sudah hampir tahun 2014 melabuhkan tirainya. Cepat masa berlalu. Semakin hari, kita dimamah dengan usia yang semakin tua. Alhamdulillah, inilah nikmat Ilahi, yang memberi kita umur yang panjang serta kudrat fizikal yang kuat.

Pada hari ini, kami suka untuk berkongsi satu topik yang agak biasa kedengaran. Dan ianya menjadi salah satu benih dalam kotak perasaan kita.

Marah dan dendam sudah menjadi salah satu cabang dalam pohon perasaan kehidupan kita seharian. Tidak hari ini, mungkin esok, mungkin lusa ataupun mungkin ada hari emosi dendam dan pemarah ini akan menjelma apabila diri kita berada dalam keadaan tertekan. Pada waktu apabila emosi marah itu jelma, wajah kita akan kemerahan, urat - urat akan menegang dan badan kita menggeletar kerana geram. Jikalau ianya tanpa kawalan, seseorang itu akan mula menumbuk, memukul ataupun membunuh bagi memuaskan hati dan bagi dia, ianya jalan terbaik untuk melepaskan segala kemarahan.

Betul. Emosi marah dan dendam itu adalah sifat semula jadi dalam diri manusia. Tetapi, dinasihati kepada semua agar hindarilah sifat pemarah dan suka berdendam ini kerana dengan emosi sebegini akan muncul kebencian dan permusuhan. Islam sebuah agama yang mengamalkan kedamaian. Teringat kata seorang murabbi,
"Jangan jadi macam Squidward, berwajah hodoh. Tidak ramai yang ingin berkawan dengannya, kerana dia selalu marah dan dendam dengan jirannya, Patrick dan Spongebob."
"Tetapi, jadilah macam Spongebob. Selalu ceria tidak kira dimana sekalipun. Malah, ramai yang berkawan."
Hindarilah emosi marah dan dendam ini. Tidak rugi buat diri kita untuk amalkan sifat ceria dan senyum sentiasa.






3 Langkah Atasi Marah

 I. Minum air kosong.

Pakar kesihatan sentiasa mengingatkan diri kita untuk amalkan 8 gelas sehari. Minum air kosong dapat hilangkan emosi marah? Mengapa?

Air itu memang menyegarkan dan sentiasa menyejukkan. Di saat kita sedang marah atau berdendam, ia seolah - olah diri kita dibakar dengan api yang sedang marak. Sejukkanlah diri kita dengan beberapa tegukan air. Dan niatkanlah dihati moga Allah dapat mengurangkan sifat pemarah dalam diri. Selain itu, jika dapat berwudhuk juga adalah lebih baik.


II. Amalkan konsep ''PAUSE'' dalam diri.


Pernah dengar tentang konsep ini? Baiklah, konsep ini mengajar kita untuk lebih sabar.Ia juga dapat mendekatkan kita dengan tindakan yang rasional.

Bagi mengaplikasi konsep PAUSE dalam diri ini adalah mudah sahaja.


  • Diam
  • Berfikir

Langkah yang pertama, kita perlu diam. Kuasa diam begitu besar kerana secara tidak langsung ia mampu menerbitkan kesabaran akibat dari permulaan kita melakukan tindakan kedua iaitu berfikir.
Langkah kedua yang perlu dilakukan untuk mengawal marah ialah berhenti sejenak dan berfikir.
1. Mengapa aku perlu marah?
2. Apakah kesan kemarahan aku nanti?
3. Bagaimana pandangan Allah kepada aku?
Sekiranya persoalan – persoalan ini diteliti, ia mampu mengembalikan kita kepada realiti keadaan sebenar. Kita kembalikan diri kita kepada beberapa aspek rasional diri dan kesannya kita akan tersedar dari minda separa sedar semasa marah. Lalu akan terbit rasa timbang rasa kepada pihak yang menerbitkan rasa marah kita itu.

Wednesday, October 29, 2014



Berbakti Kepada Ibu Bapa

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL- BAKRI


DINYATAKAN di sini dalam ruangan tafsir berkenaan dengan kelebihan serta tanggungjawab seorang anak kepada ibu bapa dengan melakukan ihsan.
Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa seperti yang dinaskan dalam al-Quran yang bermaksud:Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. (al-Isra': 23)
Ihsan yang dimaksudkan adalah penghormatan dan pengagungan yang berkaitan dengan peribadi.
Sedang bila yang dimaksudkan dengan memberi manfaat material, maka kalimah yang digunakan adalah li, dan demikian dengan ayat ini lebih menekankan kebaktian pada penghormatan dan pengagungan peribadi kepada kedua-dua orang tua.
Walaupun berbeza, namun pada akhirnya mesti difahami ihsan kepada orang tua yang diperintahkan agama Islam adalah bersikap sopan kepada kedua-duanya dalam ucapan dan perbuatan sesuai dengan adat kebiasaan masyarakat. Sehingga mereka merasa senang terhadap kita serta mencukupi keperluan-keperluan mereka yang sah dan wajar sesuai dengan kemampuan kita sebagai anak.
Rujuklah kembali tafsiran al-Quran di dalam surah al-Nisa' pada ayat 34 yang bermaksud untuk memperoleh informasi yang lain tentang batas-batas bakti kepada orang tua.
Pernah suatu ketika, Abdullah bin Amr mengisahkan yang bermaksud: "Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW, lalu ia meminta kebenaran daripadanya untuk berjihad. Maka Baginda bertanya kepadanya: Adakah ibu bapa engkau masih hidup? Dia menjawab: Ya! Baginda bersabda: Maka hendaklah berbakti pada keduanya dikira engkau berjihad." (riwayat al-Bukahri (3004) dan Muslim (6668))
Antaranya pengajaran yang boleh di ambil berdasarkan nas dan hadis di atas adalah:
l Kelebihan jihad dan berbuat baik kepada ibu bapa. Berbuat baik kepada ibu bapa lebih baik daripada jihad.
l Sayid Qutub berkata: "Hubungan pertama selepas hubungan akidah ialah hubungan keluarga. Oleh kerana itu, penjelasan ayat ini menghubungkan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa dengan kewajipan menyembah Allah untuk menerangkan betapa tingginya nilai berbuat baik kepada ibu bapa itu di sisi Allah SWT."

Antara cara dan adab berinteraksi dengan ibu bapa telah dinaskan di dalam al-Quran iaitu yang bermaksud: Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Isra': 23-24)
Sayid Qutub berkata: "Fitrah semula jadi yang mendorong kedua-dua ibu bapa berusaha membela anak-anak mereka dan membuat mereka sanggup berkorban apa sahaja walaupun diri mereka sendiri."

Jika tunas tumbuhan yang hijau menyedut segala makanan yang terdapat pada biji benih hingga akhirnya menjadi hancur.
Jika anak ayam dalam telur itu menyedut segala makanan yang terdapat dalam telur hingga akhirnya tinggal kulit, maka begitulah juga anak-anak manusia menyedut segala madu, kesihatan, daya usaha dan perhatian ibu bapa mereka hingga akhirnya mereka meningkat usia emas jika kedua-duanya dipanjangkan umur, namun begitu kedua-duanya tetap merasa bahagia dan senang hati.
Justeru, para ibu bapa tidak perlu berpesan supaya anak-anaknya menjaga dan membela anak-anak mereka, malah anak-anaklah yang perlu dibangkitkan kesedaran mereka dengan bersungguh-sungguh supaya mereka mengingatkan kewajipan mereka terhadap ibu bapa yang telah memberi seluruh madu kepada mereka hingga tua.

Di sinilah diterangkan perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa dalam bentuk keputusan daripada Allah SWT yang mendokong pengertian perintah yang wajib setelah menerangkan perintah yang wajib supaya menyembah Allah.
Al-Hafiz al-Bazzar dengan sanadnya daripada Buraidah daripada bapanya berkata: "Ada seorang lelaki sedang bertawaf sambil mengendongkan ibunya, lalu dia bertanya kepada Nabi SAW: Adakah hamba telah menunaikan haknya (hak ibunya)? Baginda menjawab: Tidak! Tidak dengan hanya sekali pandang sahaja."
Dengan menekuni sejarah salafussoleh, jelas menujukkan kepada kita bahawa terlalu banyak mereka yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Antara contoh yang hebat yang berlaku kepada Usamah bin Zaid. Begitu juga kisah Saad Bin Abi Waqas dengan ibunya.

Sebenarnya, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa tidak hanya dibataskan dengan hanya sambutan untuk Hari Ibu dan Hari Bapa sahaja. Akan tetapi sewajarnya ia dilangsungkan sepanjang masa keranA ibu bapalah menjadi penyebab kelahiran kita dan hidupnya kita dengan seadanya ini. Marilah sama-sama kita berbakti kepada kedua ibu bapa dengan bersungguh-sungguh.